Berikut adalah sedikit riwayat perjalanan bagi penaung Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah iaitu Ustaz Zakaria Awang Al-Ahmadi sepanjang perkhidmatan beliau bersama Ad Diniah.

Perjalanan beliau ke bumi Kemboja bermula pada tahun 2000 masihi. Beliau ditemani oleh seorang sahabat yang bernama Abdul Ghani. Abdul Ghani merupakan seorang warga Kemboja yang berhijrah ke Malaysia setelah tercetusnya rejim Pol Pot yang menguasai Kemboja.
Sifat Ustaz Zakaria yang bersanggupan ini telah menjadikan misi beliau untuk membantu masyarakat Islam di bumi Kemboja itu berjaya. Walaupun pada mulanya terlalu banyak halangan dan rintangan yang terpaksa dihadapinya seperti mereka terpaksa melalui jalan yang agak merbahaya dengan keadaan jalannya yang tidak rata, jambatan utama yang digunakan untuk menyeberangi sungai pula runtuh sehingga terpaksa merentangkan kayu balak sebagai pengganti kepada jambatan yang runtuh tersebut, ketiadaan tempat untuk menunaikan solat dan banyak lagi halangan yang dihadapinya. Namun itu semua tidak mematahkan semangat beliau untuk terus memberikan khidmat kepada masyarakat Islam di sana.

Sampai sahaja di Kemboja, apa yang telah menarik perhatian Ustaz Zakaria adalah keadaan kehidupan mereka di sana yang serba dhaif. Mereka tidak mempunyai rumah yang selesa seperti rakyat di Malaysia. Hanya bertiang dan berlantaikan buluh serta berbumbungkan daun-daun seperti nipah dan lalang sahaja. Rumah yang tidak berbilik dan terdedah dengan pelbagai ancaman itu amat menyayat hati Ustaz Zakaria.
Itulah serba sedikit permulaan kepada perjalanan kehidupan Ustaz Zakaria dalam melakukan kerja kebajikan di Kemboja. Berbekalkan azam dan niat yang kuat untuk membantu masyarakat Islam di sana, Ustaz Zakaria telah bertekad dan berusaha untuk mengumpulkan dana dari rakyat Malaysia bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan di Kemboja. Bersumberkan dana dan sumbangan dari rakyat Malaysia, beliau telah berjaya membuka satu perkampungan di Kemboja yang diberi nama Kampung Bahagia yang terletaknya di dalam Kampung Cham berhampiran Sungai Mekong.

Di perkampungan tersebut, beliau telah diberikan sebuah masjid dan sekolah untuk dibangunkan. Setelah beliau berjaya membangunkan sekolah dan masjid tersebut, beliau tidak pernah ketinggalan untuk menjalankan ibadah qurban dan aqiqah untuk masyarakat di sana setiap tahun. Malahan sehingga sekarang beliau masih menggunakan masjid tersebut sebagai tempat untuk melakukan ibadah qurban dan aqiqah di sana.

Ustaz Zakaria juga adalah seorang yang sangat mementingkan ilmu agama. Baginya perkara yang menjadi tunjang dalam melaksanakan kerja kebajikan adalah kefahaman dalam ilmu agama. Lihatlah bagaimana beliau telah menghidupkan sekolah di Kampung Bahagia itu, daripada tiada penuntutnya sehingga kini telah bertambah menjadi lebih ramai. Bukan hanya masyarakat di sana yang berebut untuk mendapatkan ilmu dari beliau, bahkan badan-badan swasta di Malaysia seperti KWSP, Risda, Uda Holdings, Jabatan Ukur dan lain-lain lagi turut menjemput beliau sebagai penyampai bagi kuliah ilmu bersama beliau. Sebagai persediaan menghadapi pelbagai persoalan daripada penyumbang, Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah juga tidak ketinggalan untuk menjadikan Ustaz Zakaria sebagai sumber rujukan juga sebagai guru yang menyampaikan ilmu pada setiap Rabu.

Oleh kerana, cuaca di Kemboja yang sangat panas dan menyebabkan berlakunya kemarau bagi tempoh paling kurang lima bulan lamanya, Ustaz Zakaria telah menggunakan kebijaksanaan dan keprihatinan beliau dengan berusaha untuk mencari pewaqaf yang sanggup menginfaqkan hartanya bagi membantu menyalurkan keperluan air untuk masyarakat Kemboja yang memerlukan.

Dengan izin Allah, usaha beliau yang berterusan itu telah berjaya menampakan hasil. bermula dengan beliau dan kini telah diwarisi oleh pelapis-pelapis yang ada sekarang, sehingga tahun 2020 Ad Diniah telah berjaya membina ribuan unit pam air melalui sumbangan yang telah diberikan oleh para pewakaf diseluruh negara. Bukan itu sahaja, Ad Diniah juga telah berjaya menganjurkan program-program wakaf yang lain seperti Wakaf Al-Quran, Wakaf Solar, Wakaf Tandas dan juga Wakaf Basikal. Semoga dengan apa yang diusahakan oleh Ustaz Zakaria sejak 36 tahun yang lalu ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Dunia.