SEJARAH AD DINIAH

Ad Diniah telah beroperasi sejak tahun 1985 lagi dengan mengendalikan program Qurban dan Aqiqah di Malaysia, Indonesia, Kemboja, Bangladesh, Thailand dan juga Myanmar. Selain daripada kerja-kerja sukarelawan, Ad Diniah juga mempunyai Pusat Pengajian Pondok iaitu Madrasah Diniah Ahmadiah yang ditubuhkan oleh Ustaz Zakaria Awang Al-Ahmadi pada 13 Syaaban 1412H bersamaan dengan 17 Februari 1992 di Simpang Balak, Kajang, Selangor sebelum berpindah ke Batu 10, Cheras. Setakat ini, Ad Diniah telah membina 10 buah masjid dan surau di Kemboja.

Banyak perkembangan yang dapat dilihat melalui kejayaan dan kualiti program sejak penubuhan sehingga ke hari ini. Alhamdulillah, berkat usaha yang berpanjangan dan kesabaran yang tinggi di kalangan tim Ad Diniah, sehingga hujung Disember 2020 sebanyak 9000 unit pam air telah selamat dibina dan diwakafkan bagi kemudahan penduduk muslim di Kemboja. Selain dari wakaf pam air, Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah juga turut mengadakan program-program wakaf yang lain seperti program wakaf Al-Quran, wakaf tandas, wakaf solar dan yang terbaharu adalah wakaf basikal. Antara program lain yang menarik di bawah anjuran Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah ialah program Qurban dan Aqiqah di Kemboja. Melalui program-program inilah, Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah semakin dikenali di mata orang ramai sekaligus telah meningkatkan bilangan jumlah penyumbang atau peserta program saban tahun.

Selain dari program yang dianjurkan untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan seperti Tabung Islah dan Islah Care, Ad Diniah turut menganjurkan program-program untuk pembangunan tim seperti tazkirah 30 minit setiap pagi dan Kuliah agama pada setiap hari Rabu jam 12 tengah hari sehingga 1 petang bersama penaung Ad Diniah sendiri iaitu Ustaz Zakaria.

Seterusnya, terdapat juga beberapa program yang dianjurkan melalui slot Diniah Mahabbah pada setiap hari Jumaat. Antara program-program Diniah Mahabbah yang telah dianjurkan ialah, Menyantuni Gelandangan, Program Imarah Masjid, Mengasihani Anjing dan Kucing Terbiar dan yang terkini Gotong-Royong membersihkan madrasah dan termasuk program-program bersempena Ramadhan seperti pengagihan bubur lambuk dan kurma, Kutipan Baju Raya bagi anak-anak yatim, Program Iftar di Masjid dan banyak lagi.

Selain berkongsi rezeki, menyantuni dan mengasihani makhluk-makhluk Allah, program Diniah Mahabbah adalah bertujuan mendidik jiwa tim agar sentiasa bersedia dan bekorban demi membantu kesusahan orang lain. Penyertaan program ini adalah berbentuk sukarela dan tidak diwajibkan kepada tim Ad Diniah untuk menyertainya. Bertepatan dengan prinsip yang patut ada dalam diri setiap sukarelawan iaitu sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan dan sanggup mengorbankan masa, tenaga dan keselesaan diri demi insan lain. Penglibatan secara sukarela ini pastinya akan dapat melahirkan NGO yang berkualiti dan sentiasa bersedia dalam pelbagai aspek seperti kepimpinan, sahsiah diri dan gaya hidup yang baik.