Kisah pengabaian warga emas telah hangat dibicarakan sejak dahulu lagi. Kerap kali terpapar di dada akhbar berita mengenai warga emas yang ditinggalkan berseorangan di hospital atau pusat jagaan. Perkara ini jelas menunjukkan keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat kian membimbangkan. Bayangkan majoriti yang ditinggalkan ini mempunyai anak yang telah dewasa dan bertanggungjawab dalam menjaga orang tua dengan sebaiknya.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada perlakuan sebegini antaranya kurang kefahaman agama, jurang komunikasi, keupayaan kewangan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, faktor ini tidak boleh dijadikan penyebab kepada sikap anak terhadap ibu bapa sedangkan anak merupakan laman bahagia buat mereka menjelang tua

KUNJUNGAN AMAL DI AL-FIKRAH

Seramai 70 orang penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah, Sungai Sekamat, Kajang menerima kunjungan amal Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah baru-baru ini. Menariknya program Sebiji Kurma dan Giving Jumaat kali ini, Ad Diniah bukan sahaja dapat berkongsi rezeki malah turut menyumbang bakti dalam menguruskan keperluan penghuni dan membersihkan kawasan pusat jagaan.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kunjungan amal adalah membersihkan bilik penghuni dan tandas, menukar cadar, melipat pakaian dan memotong kuku. Selain itu, Team Ad Diniah juga berkesempatan mendekati warga emas dan OKU di Al-Fikrah semasa sesi sarapan pagi bersama.

Di samping itu, seorang warga emas yang mesra dipanggil Pak Cik Rahim kelihatan begitu ceria dan difahamkan beliau merupakan pesakit terlantar (Bed Ridden) yang kini telah pun kembali sihat dan aktif. Seluruh penghuni Al-Fikrah dijaga dengan rapi oleh 15 orang penjaga yang bertangggungjawab menguruskan pesakit terlantar, separa terlantar, OKU dan warga emas yang memerlukan pemerhatian.

Pengalaman yang paling berharga dapat dikongsikan adalah seorang remaja OKU yang berumur lingkungan 20-an datang mendekati setiap Team Ad Diniah bagi menulis kata-kata sokongan di dalam bukunya. Sebak membayangkan mungkin ini cara untuk remaja tersebut terus bersemangat menghadapi hari-hari di Al-Fikrah.

Kami di Ad Diniah amat terkesan melihat kesayuan di wajah mereka kerana merindukan keluarga yang tidak kunjung tiba. Kata pengurus Pusat Jagaan Al-Fikrah, Puan Atikah Azmi, “Besar harapan Al-Fikrah menantikan sesiapa yang sudi melawat ayahanda dan bonda di sini. Tidak ada yang diharapkan melainkan kasih sayang daripada yang sudi.”

Atau hubungi