Menjadi seorang ibu tunggal bukanlah sesuatu yang dipinta. Menanggung kepayahan dalam mendidik anak-anak sehingga menjadi dewasa yang berguna tanpa sosok seorang suami amatlah berat. Dialah ibu dan dialah ayah yang tulus menggalas tanggungjawab dari siang berganti malam, hari berganti bulan, bulan berganti tahun. Kadangkala sakit dan susah sengaja disembunyi agar anak-anak dapat merasai kasih sayang yang sempurna. Sejarah telah mencatatkan beberapa ilmuwan dan generasi dambaan yang lahir dari tangan seorang ibu tunggal seperti Imam Syafi’e, Imam Malik, Imam Bukhari dan ramai lagi. Terbukti kekuatan ibu tunggal seperti mereka ibarat bertulangkan besi dan berhatikan emas, sempurna didikan dan kasih sayangnya.

IBU TUNGGAL DIJAGA ANAK BONGSU YANG TIDAK BERSEKOLAH

Namun, tiba masa ibu yang kuat tidak selamanya kuat. Berkongsi kisah lawatan Ad Diniah baru-baru ini menghantar hasil sumbangan dari program “Sebiji Kurma & Giving Jumaat” di sebuah rumah yang didiami oleh seorang ibu tunggal bersama 2 orang anaknya. Ibu tersebut mengalami keterbatasan pergerakan kesan koma yang dialami selama sebulan atas sebab pembedahan membuang bisul di badan.

Melihat keadaan ini, hati kami terusik kerana mengenangkan remaja lelaki berusia 14 tahun yang sanggup menjaga ibu yang tidak lagi berdaya. Bertambah sayu apabila si ibu menahan sebak bercerita bahawa anaknya sanggup menangguh pembelajaran demi kasihnya pada ibu. Seorang lagi ibu tunggal penghidap kanser payudara turut menerima sumbangan di hari yang sama pada 9 September lalu. Ketabahan ibu yang masih bekerja dan berulang alik ke hospital bagi menerima rawatan susulan meninggalkan kesan yang luar biasa. Kagum melihat ibu tunggal yang tidak ada sekali pun keluhan terbit dari bibirnya bahkan bersyukur kerana masih dikurniakan kudrat untuk menanggung anak-anak.

Begitu banyak pengajaran yang boleh diambil melalui kisah hidup mereka. Jika kita masih dikurniakan pasangan dan keluarga maka hargailah. Tiada siapa yang mengetahui bila saat terakhir mereka akan ada bersama untuk melalui kehidupan yang mendatang. Dan sesungguhnya, Allah sangat dekat dengan orang-orang yang menghulurkan tangan buat saudaranya. 

Atau hubungi