LAGI SET PENGURUSAN JENAZAH BERJAYA BANTU MUDAHKAN URUSAN JAWATANKUASA MASJID

   Perkongsian daripada jawatankuasa masjid ketika mengedarkan set pengurusan jenazah baru-baru ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai peri pentingnya badan khairat yang ditubuhkan di masjid kariah. Lazimnya, mereka akan membeli set lengkap pengurusan jenazah ini di pejabat pos tetapi bergantung kepada stok yang tersimpan. Jawatankuasa ini pula terdiri daripada warga tua yang menguruskan khairat kematian. Jika kehabisan set pengurusan jenazah, maka mereka terpaksa mencari satu demi satu bahan bagi menguruskan kematian ahli kariah.

   Ad Diniah sekali lagi berjaya mengedarkan 5 set pengurusan jenazah yang diwakafkan oleh orang ramai di Masjid Kariah Batu 10, Cheras pada 4 Ogos lalu. Lebih menarik lagi, edaran kali ini turut dihadiri oleh penaung Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah iaitu Ustaz Zakaria Awang Al-Ahmadi sebagai penyampai set lengkap ini kepada wakil masjid. Kesedaran masyarakat terhadap program wakaf seperti ini semakin meningkat sekaligus memudahkan jawatankuasa khairat kematian membuat persediaan apabila berlaku kematian di kawasan sekitar.

MEMBERI TANDA PENGABDIAN DAN PENYUCIAN JIWA

   Apa yang boleh difahami dari kata-kata emas ini, ketika kita diberi sesuatu lebih-lebih lagi dari Maha Pencipta maka menjadi keutamaan untuk kita menghargainya dan jadikan pemberian itu yang terbaik . Sama situasinya apabila kita diberikan rezeki oleh Allah , yang terbaik untuk kita lakukan adalah seba-hagian harta itu mestilah didorongkan kepada perkara baik seperti membantu orang – orang yang lebih memerlukan.

   Banyak yang boleh kita lakukan sebagai tanda kita menghargai rezeki yang Allah kurniakan. Antaranya dengan menyedekahkan dalam bentuk yang boleh dimanfaatkan seperti wakaf set kafan ini. Sesungguhnya amalan memberi sesuatu yang bermanfaat ini adalah salah satu cara untuk kita mengabdikan diri kepada Allah kerana akur segala yang dimiliki adalah milik Allah secara mutlak melainkan kita hanya sebagai yang meminjam . Di samping itu, amalan ini juga sebagai cara penyucian jiwa agar kita lebih sedar bahawa yang sepatutnya berada di hati orang beriman bukanlah harta dunia sebaliknya kasih Allah yang membawa ke syurga-Nya. Semoga Allah hadirkan hati yang sentiasa ikhlas dalam melakukan kebaikan kepada kita.