BANTUAN TABUNG ISLAH | MEMUPUK SIFAT SYUKUR

   Sebagai seorang Mukmin, perlu untuk kita sedar bahawa semua yang kita punyai adalah milik mutlak dan hakiki Allah. Kita hanyalah pemegang kepada amanah yang diberikan oleh Allah.

   Jadi apakah cara terbaik untuk kita mengendalikan amanah Allah tersebut?

MENABUR KEBAIKAN MELALUI LAWATAN ASNAF DI KELANTAN

   Dalam hal dunia, seseorang itu haruslah melihat orang yang berada di bawah. Kenapa perlu lihat mereka yang di bawah? Ianya bagi melahirkan dan menerbitkan rasa syukur dalam diri ini . Sifat syukur perlu dipupuk dalam diri kita sebagai manusia. Jadi Ad Diniah cuba mendidik team Ad Diniah supaya sentiasa melihat orang yang berada di bawah supaya dapat menghadirkan rasa syukur. Pada 27 Julai hingga 28 Julai yang lepas, team Ad Diniah telah membuat lawatan ke rumah-rumah asnaf di sekitar Kelantan. Enam buah rumah bersama enam kisah yang berbeza. Setiap kisah terselit keperitan, kesusahan dan penderitaan yang sedang dilalui oleh mereka.

   Namun, apa yang paling dikagumi ialah tiada rungutan pun yang keluar dari mulut mereka. Bahkan yang terbit hanyalah keikhlasan sebagai satu manifestasi kesyukuran terhadap nikmat dan ujian yang diberikan. Tahap kebergantungan dan kesyukuran mereka kepada Allah sangat tinggi menyebabkan kita yang melihat ini merasa kerdil. Allahu, ujian itu bukan untuk mereka sahaja namun untuk kita juga.

   Alhamdulillah, sedikit sumbangan dari program ‘Tabung Islah’ berbentuk makanan asas dan bahan basah telah diberikan kepada mereka. Ini adalah berkat sumbangan anda yang tidak pernah putus menyumbang selama ini.