AGIHAN WAQAF SET PENGURUSAN JENAZAH | REBUT PAHALA SANTUNI MANUSIA

   Kematian adalah satu kepastian yang tidak boleh dielakkan oleh setiap manusia.

Tiada siapa yang tahu di mana dia akan meninggal dunia atau bila waktunya. Oleh sebab itu, persiapan dan persediaan kita untuk menghadapinya perlulah diberi keutamaan. Ketika hidup inilah kita perlu melakukan banyak amal dan ibadah sebagai bekalan untuk kehidupan di akhirat kelak.

Setiap hari berlalu, seorang demi seorang anggota keluarga, sahabat handai dan kenalan kita meninggalkan dunia ini. Menjadi tanggungjawab kita yang masih hidup ini untuk menguruskan jenazah ini. Hukumnya fardu kifayah bagi mereka yang berkelayakan mengurusnya. Sungguh hebat pahala atau ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang ikhlas mengendalikan urusan jenazah. Apatah lagi jikalau jenazah itu adalah saudara terdekat kita, maka kitalah yang lebih afdal untuk melakukannya.

KESEDIHAN DIGANTI DENGAN PEMBERIAN YANG BERMAKNA

   Tahukah anda? Tanpa kita sedar, ramai dalam kalangan kita hidup sekadar mencukupi. Apabila berlaku kematian , kos pengurusan jenazah yang sangat tinggi menjadi satu bebanan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Selepas meninggalnya seseorang, perkara pertama yang perlu disegerakan adalah urusan pengurusan jenazah. Oleh itu, masjid-masjid mengambil inisiatif untuk membantu menguruskan jenazah penduduk setempat. Namun adakalanya pihak masjid juga mengalami kekurangan alat pengurusan jenazah.

   Ad Diniah baru-baru ini telah berjaya menjalankan pengagihan wakaf set pengurusan jenazah sebanyak 60 set kepada 12 buah masjid. Setiap masjid menerima 5 buah set kelengkapan pengurusan jenazah. Program ini bertujuan membantu masjid dan surau di Malaysia untuk memiliki set pengurusan jenazah yang lengkap dan mudah untuk kegunaan masyarakat setempat dan meringankan beban ahli kariah yang kematian ahli keluarga dalam menguruskan jenazah.

   Tidak cukup dengan kesedihan kehilangan keluarga, ditambah pula masalah kewangan yang menghimpit. Ayuh, ringankan beban mereka dengan menyumbang dalam Program Waqaf Set Pengurusan Jenazah.