IBADAH KORBAN | ZAHIRKAN CINTA DISEBALIK PENGORBANAN

   Jika Nabi Ibrahim a.s sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s, adakah ujian yang Allah beri kepada kita lebih besar dan berat daripada Nabi Ibrahim?

   Sebenarnya, disebalik kisah yang diabadikan dalam kitab suci Al-Quran itu adalah sebagai mengajar kita tentang erti pengorbanan yang tiada tara daripada seorang hamba kepada Rabb nya. Sekali lagi kita renung kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Jika difikirkan dari sudut logik akal, tidakkah per-mintaan Allah itu tidak relevan? Terlalu sukar dan tidak akan termampu untuk dipikul oleh mereka?

   Tidak hairan sama sekali apabila para nabi sanggup melakukan sesuatu yang diperintahkan oleh Allah walaupun perkara yang diluar jangkauan. Tahap kecintaan Nabi Ibrahim a.s kepada Allah jauh lebih tinggi daripada kecintaannya kepada anaknya, Nabi Ismail a.s. Meletakkan kecintaan kita sepenuh hati dan jiwa kepada Allah melebihi manusia memerlukan suatu jihad dan pengorbanan yang cukup besar. Pada setiap pengorbanan pasti akan ada ganjarannya. Allah mahu menghadiahkan sebuah hadiah yang sangat besar atas segala kesabaran kita dalam mengorbankan diri kepada-Nya iaitu hadiah syurga yang kekal abadi.

PENGORBANAN SEBENAR BERSAMA AD DINIAH

   Antara pengorbanan terbesar umat Islam untuk membuktikan rasa cinta kepada Allah adalah dengan menumpahkan darah haiwan ternakan iaitu berkorban. Begitu besar ganjaran bagi mereka yang berkorban yang mana setiap helai bulu binatang korban akan diberi 1 kebaikan oleh Allah SWT.

   Pada hari raya korban yang lalu, Ad Diniah telah menjalankan ibadah korban di beberapa negara iaitu Malaysia sebanyak 12 ekor lembu dan 23 ekor kambing, Kemboja sebanyak 470 ekor lembu dan 110 ekor kambing serta Mekah 1,371 ekor kambing. Alhamdulillah, segala gerak kerja penyembelihan dipermudah oleh Allah dan keseluruhan daging telah selamat diedarkan kepada fakir miskin.

   Ad Diniah ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang yang sudi melaksanakan korban bersama kami dan memberi amanat untuk menguruskan program ini agar para penyumbang dapat berkorban demi meraih rasa kasih dan cinta Allah SWT.