BUNGKUSAN GOODIES | MENGUKIR SENYUM DI BIBIR KANAK-KANAK KEMBOJA

   Terbayang wajah gembira kanak-kanak apabila dihulurkan sesuatu yang menjadi kesukaan mereka. Untuk menggembirakan mereka yang dalam kesusahan tidak memerlukan usaha yang luar biasa. Cukup dengan memberi sebiji gula-gula sudah membuatkan kanak-kanak ini bahagia.

   Dalam usaha menggembirakan mereka yang serba kekurangan, Ad Diniah mengambil kesempatan untuk memberi sebanyak 1000 pek goodies kepada kanak-kanak Kemboja di Hari Raya Korban nanti. Sukarelawan Ad Diniah antara yang bekerja keras dalam membungkus pek goodies baru-baru ini untuk dihantar ke Kemboja.

   Makanan ringan atau ‘jajan’ kecil yang kita biasa lihat ini, besar ertinya buat mereka. Betapa gembira dan bersyukurnya mereka atas rezeki yang dikurniakan. Mungkin kita tidak tahu, kerana kesempitan hidup yang dialami, kanak-kanak ini tidak dapat merasai kegembiraan seperti kanak-kanak lain.

HIKMAH SABAR DALAM MENERIMA KETENTUAN ALLAH

   Kehidupan yang kita lalui sehari-hari tidak akan terlepas dari merasa kesusahan. Ketahui-lah, dunia ini hanyalah medan ujian buat kita sebagai hamba-Nya untuk melihat sejauh jauh mana sabar dan taatnya kita demi mendapatkan syurga Allah. Renungkan sejenak, kalaulah syurga itu mudah didiami tanpa hadirnya ujian. Maka tentunya hidup ini membosankan. Kita lihat kanak-kanak Kemboja, untuk mereka dapatkan kegembiraan seperti kanak-kanak lain tidaklah mudah. Tetapi dengan kesabaran mereka melalui segala kesusahan, ada pula yang sudi menghadiahkan goodies untuk melihat mereka tersenyum.

Segala ujian dan dugaan yang Allah hadirkan dikeliling kita tidak lain hanyalah sebagai peringatan kepada manusia supaya tidak mudah lalai dan lupa kepada Maha Pencipta. Selagimana kita beringat, selagi itu kita sentiasa berada dalam dakapan-Nya.

   Di bulan Islam yang terakhir ini, ayuh kita bersihkan jiwa untuk lebih mencari hikmah di sebalik ujian. Terima kasih buat kanak-kanak kecil ini. Pundak kecil yang berjiwa besar.