Agihan Bubur Lambuk: Sedikit Dikongsi Bersama

Sinonimnya di Malaysia aktiviti agihan bubuk lambuk akan diadakan di sepanjang bulan Ramadan. Tujuan utama aktiviti ini dilaksanakan adalah bagi menghidupkan bulan Ramadan sekaligus memupuk umat Islam agar mengamalkan budaya memberi atau bersedekah. Antara tempat yang menjadi tumpuan utama aktiviti agihan ini kebiasaannya di kawasan tumpuan orang ramai seperti masjid, surau, jalan raya dan sebagainya.

   Tahun ini merupakan tahun yang kedua Ad Diniah kembali aktif membuat agihan bubur lambuk kepada orang awam. Menarik sekali untuk dikongsi, berbeza dari situasi agihan di tahun yang lalu yang lebih berfokus di masjid dan kawasan kediaman. Namun Ad Diniah kali ini bergerak lebih giat dengan membuat agihan kepada pengguna jalan raya di sekitar Cheras dan Kajang, Selangor.

   Paling mengejutkan buat julung kalinya Ad Diniah berjaya merekodkan sebanyak 2028 bungkus agihan bubuk lambuk dan kurma kepada orang awam. Untuk makluman, penyediaan bubur lambuk ini dibuat sepenuhnya di bawah kerjasama team Ad Diniah.

Bulan Ramadan Bulan Merebut Kebaikan

   “Terima kasih atas sumbangan bubur lambuk ini. Semoga dengan apa yang diusahakan ini memberi kebaikan ke atas Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah dan semua.” – kata wakil masjid yang menerima dan menguruskan agihan bubur lambuk kepada kariah masjid baru-baru ini.

   Disamping itu, usaha yang giat dijalankan ini bukan sahaja sebagai menzahirkan amalan memberi malah turut mengeratkan ikatan ukhwah sesama umat Islam. Bayangkan jika ketika ini Nabi Muhammad SAW melihat umat Islam begitu memuliakan bulan Ramadan dengan perkara-perkara kebaikan, Allahuakbar.

   Kadangkala kita mudah meremehkan perkara yang kecil. Ingat, di ketika ini tidak mustahil ada yang tidak mampu menyediakan juadah untuk berbuka puasa dek kerana kesempitan hidup yang dialami. Semoga dengan sumbangan kecil yang besar rahmatnya ini membawa seribu kemanisan kepada mereka untuk mengisi perut yang kelaparan serta menantikan ihsan daripada mereka yang berhati mulia.

   Akhir sekali, ayuh berkejar-kejarlah merebut peluang di bulan Ramadan ini kerana sesungguhnya bulan ini hanyalah buat umat Nabi Muhammad SAW. Jangan berhenti! Teruskan perjuangan kebaikan ini lebih-lebih lagi di ketika kita berada di fasa terakhir iaitu 10 malam Al-Qadr. Ramadan ini Ramadan kita.