Utusan Malaysia - Ad Diniah sasar agih 10,000 kit pengurusan jenazah percuma

Ad Diniah sasar agih 10,000 kit pengurusan jenazah percuma

KUALA LUMPUR : Pertubuhan Sukarelawan Ad Diniah mensasarkan pengagihan kelengkapan pengurusan jenazah termasuk kain kafan lebih 10,000 set kepada mana-mana pihak sebagai kempen amal kebajikan dan fardu kifayah.

Penaung pertubuhan berkenaan, Ustaz Zakaria Awang berkata, kempen sumbangan set pengurusan jenazah termasuk kain kafan itu tercetus sebagai usaha amal kebajikan yang selama ini menjadi titik fokus mereka untuk membantu masyarakat.

“Perkara yang dihadapi dan dilalui bagi setiap yang hidup kadangkala menjadi kesulitan tanpa diduga. Contohnya pihak masjid dan keluarga si mati.

“Jadi tercetuslah idea pihak kami dalam pengagihan set pengurusan jenazah ini. Malah saya memuji ada golongan artis dan ustaz selebriti yang menggunakan pengaruh mereka menjual set seumpama itu,” katanya.

Tambahnya,kempen ini sudah memasuki bulan ketiga dan sudah lebih 300 set kelengkapan berkenaan diagihkan kepada masjid yang memerlukan. “Selepas tiga bulan kempen ini berlangsung, lebih 20 buah masjid sekitar Kajang dan di Pantai Timur sudah menerima agihan set kelengkapan pengurusan jenazah itu. “Kebiasaannya, kita akan dapatkan semua senarai masjid termasuklah di Semenyih dan Negeri Sembilan. Malah kita juga berhubung dan merujuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

“Jika masjid berkenaan ada menguruskan jenazah dan perlukan set kelengkapan jenazah kita akan utamakan kepada masjid memerlukan,” katanya. Tambah Ustaz, komunikasi antara masjid yang menerima agihan akan berterusan. “Kebiasaannya masjid yang menerima sumbangan berkenaan akan memaklumkan sama ada ia sudah diguna pakai.

“Malah, jika menerima panggilan dari mana-mana masjid memerlukan, pihak kami akan aturkan agihan sumbangan dengan menghantar wakil untuk sesi pengagihan tersebut “Bahkan di sebelah Pantai Timur, kami turut mempunyai staf dan wakil yang akan menjadi wakil untuk mengagihkannya set kelengkapan terbabit. Ia merangkumi Kota Bharu (Kelantan), Kemaman (Terengganu) selain Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Ad Diniah juga mengalu-alukan sumbangan dan infak orang ramai dalam mengimarahkan kempen. “Sekiranya orang ramai ingin menyumbang atau menginfaq kelengkapan jenazah ini boleh layari sumbangankainkafan.com

“Bagi pihak yang sudi membantu dalam hal sebegini, mudah-mudahan kita dapat meringankan beban golongan memerlukan termasuk asnaf,pihak masjid dan pengurusan. “Harapan kami sumbangan dan infaq bantuan ini dapat menjadi asbab kepada suatu gejala pahala yang besar dengan mempermudah urusan kematian ialah urusan fardhu kifayah. Kalau kita dapatkan melaksanakan pengurusan ini, kita akan memiliki pahala yang melebihi dari ibadah dan amalan sunat,” katanya.

Untuk rekod pertubuhan ini diusahakan sejak 1985 dan bermula dengan program korban dan aqiqah di Malaysia termasuk ke Kemboja.